Friday, 28 November 2014

My Testimony for Mission Trip August 2013

Kesaksian: Alice W.Y. Chan 

Pada tahun 1995, ibu saya balik dari hospital dan semasa saya buka pintu untuk ibu, saya ternampak air mata di mata ibu, lalu saya menyanya ibu apa yang berlaku? Ibu kata, dia baru balik dari hospital dan doktor beritahu ibu terdapat satu bayangan dalam paru-paru ibu melalui ujian x-ray dan ibu seharusnya menjalani pembedahan. 

Pada masa itu, saya masih kecil lagi dan tidak dapat menerima berita itu dengan tenang, namun dengan iman kita sekeluarga berdoa agar kesihatan ibu tidak akan terjejas. 

Ibu mahu tangguhkan tarikh pembedahan sebab mahu pergi melancong ke Negara China dan doktor membenarkan permintaan ibu. 

Setelah ibu balik dari Negara China, kita sekeluarga membuat persiapan dari segi mental untuk pembedahan ibu dan terus berdoa kepada Tuhan Bapa agar Tuhan akan memberkati ibu. 

Saya masih ingat lagi sebelum hari pembedahan itu, doktor beritahu kita sekeluarga bahawa ini adalah pembedahan kecil, dan akan siap dalam masa dua (2) jam. Oleh itu, pada pagi tersebut, saya berpakaian sekolah sebab sesi persekolahan saya adalah pada waktu petang. Dalam fikiran kita, ini adalah pembedahan kecil dan saya masih dapat pergi ke sekolah selepas pembedahan ibu. 

Saya juga ingat pada hari pembedahan tersebut, saya beritahu ibu untuk kuatkan iman dan percaya kepada Tuhan Bapa bahawa Tuhan Bapa akan menyembuhi dan melindungi ibu. Saya juga beritahu ibu bahawa saya akan tunggu sampai dia keluar dari pembedahan dan tunggu dia untuk menyambut hari jadi saya dalam masa dua hari lagi. Pada masa itu, saya nampak air mata dalam mata ibu dan dalam keadaan separa sedar, akibat daripada ubat bius yang digunakan oleh doktor, ibu menangguk kepala dengan perlahan. 

Kita sekeluarga menunggu di hospital dengan sabar dan terus berdoa kepada Tuhan Bapa supaya Tuhan Bapa memberkati para doktor yang menangani pembedahan ibu. Kita tunggu, tunggu dan tunggu. 

Masa dua (2) jam sudah berlalu, namun ibu masih tidak keluar lagi. Perasaan risau mula menyelubungi hati kita sekeluarga. Saya sangat takut pada masa itu dan tidak tahu apa yang dapat dilakukan kecuali berdoa kepada Tuhan Bapa. 

Tiga (3) jam, empat (4) jam, lima (5) jam, ibu masih tidak keluar dari bilik pembedahan. Saya tidak dapat menjelaskan perasaan saya pada masa itu. Perasaan risau, keliru, takut telah menyelubungi hati saya. Hubungan saya dengan ibu adalah begitu erat sekali. Pada masa itu, saya mula fikir, sekiranya pembedahan itu tidak berjaya, apakah yang akan berlaku kepada saya dan keluarga saya. Kita berdoa dengan lebih tekun lagi, minta Tuhan Bapa supaya pembedahan ibu akan berjaya. 

Seketika itu, kita ternampak saudari yang menghadiri gereja yang sama, lalu di tempat kita menunggu. Saudari ini kerja sebagai seorang jururawat di hospital itu, jadi kita minta pertolongan dari saudari ini untuk masuk ke bilik pembedahan dan minta tanya apa yang berlaku di dalam. Saudari itu setuju untuk membantu kita dan sebentar kemudian, dia keluar dan beritahu kita supaya jangan risau sebab ibu masih menjalani pembedahan tersebut dan akan keluar tak lama lagi. 

Suatu perasaan lega dalam hati kita sekeluarga dan kita terus menunggu dengan sabar sambil berdoa dengan tulus kepada Tuhan Bapa. 

Pada jam keenam, doktor keluar dari bilik pembedahan dan kita sekeluarga bangkit dengan segera untuk berjumpa dengan doktor. 

Doktor berkata dengan kita, pembedahan ibu sangat berjaya! Muka kita sekeluarga berseri kembali dengan segera! Doktor juga beritahu keadaan ibu stabil dan perlu masa untuk berehat. 

Sementara itu, doktor juga beritahu kita suatu khabar yang tidak disangka: 

Doktor beritahu kita sebenarnya mereka menjangka pembedahan ibu cuma ambil masa dua (2) jam tetapi pada masa pembedahan sedang dijalankan, didapati bahawa bayangan dalam paru-paru ibu itu sebenarnya adalah sel kanser (barah) dan ibu dijangka mendapati kanser paru-paru peringkat kedua; jadi untuk mengelakkan daripada sel-sel barah itu merebak ke organ lain, doktor terpaksa memotong satu belah paru-paru ibu. Doktor juga berkata sekiranya keadaan ibu stabil dan dalam masa lima (5) tahun, tiada terdapat lagi sel-sel barah dalam badan ibu, maka ibu akan selamat dan sihat pada masa akan datang. 

Semasa saya mendengar khabar itu dari doktor, saya tidak dapat menerima khabar tersebut; air mata mengalir dengan segera dari mata saya. Saya tidak dapat memahami kenapa Tuhan Bapa mahu membenarkan perkara ini berlaku dalam keluarga kita. Namun, kita juga bersyukur kerana Tuhan Bapa tidak menamatkan hidup ibu pada masa itu. 

Hari ini, selepas 17 tahun, ibu saya masih sihat lagi dan bersemangat; dan kita sekeluarga bersyukur kepada Tuhan Bapa kerana memberkati ibu sepanjang masa ini. 

Untuk diri saya, saya bersyukur kerana Tuhan Bapa membenarkan saya mengalami pengalaman ini, sebab semasa kawan-kawan saya bercerita kepada saya mengenai keadaan saudara mereka yang serupa dengan keadaan ibu, saya dapat memahami perasaan mereka dan dapat berkongsi dengan mereka bagaimana Tuhan Bapa telah memberkarti kita sekeluarga melalui peristiwa ini. 

Tuhan Bapa adalah Tuhan yang Maha Kasih. Saya amat bersyukur kepada Tuhan dan harap kesaksian saya hari ini dapat menggalakkan kita semua yang berada di sini supaya terus beriman dengan Tuhan Bapa walaupun kita berada dalam situasi yang tidak dapat ditangani dengan kekuatan kita sendiri, sebab kita seharusnya bergantung kepada Tuhan Bapa di dalam apa jua perkara. 

Terima kasih.

No comments: